• Welcome to Universiti Malaya Community Engagement Centre (UMCares)
  • umcares@um.edu.my
  • 03-79677357
logo
logo

Universiti Malaya Community Engagement Centre (UMCares)

Majlis Sumbangan Buku Latihan Secara Pandu Lalu bagi membantu Pelajar yang Terkesan dengan Bencana Banjir

KUALA LUMPUR, 8 April 2022 - Universiti Malaya (UM) melalui Penerbit UM dan Pusat Jalinan Masyarakat (UMCares) menggunakan kaedah pandu lalu bagi mengedarkan sumbangan buku latihan kepada pelajar-pelajar sekolah yang terkesan dengan bencana banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program edaran sumbangan buku latihan tersebut yang diadakan di Rimba Ilmu UM melibatkan  seramai 160 orang pelajar daripada 13 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur yang terkesan dengan bencana banjir kilat baru-baru ini. Sebanyak 2,000 buah buku latihan telah diedarkan kepada pelajar-pelajar tersebut.

Pada bulan Mac baru-baru ini, beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dikejutkan dengan fenomena banjir kilat berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sehingga menyebabkan ramai pengguna jalan raya dan orang awam terkandas. Akibat daripada fenomena bajir kilat tersebut, terdapat juga sekolah-sekolah dan rumah-rumah yang mengalami kerosakan.

Encik Adam Wong Bin Abdullah, Pengarah di Penerbit UM, berkata dan berharap, agar sumbangan kecil ini, bersempena dengan bulan Ramadan, dapat meringankan serba sedikit bebanan yang dialami akibat musibah banjir kilat tersebut.

Sumbangan buku latihan ini juga adalah salah satu inisiatif Universiti Malaya untuk membantu komuniti-komuniti setempat melalui Program U4S (University for Society) yang dicetuskan oleh YB Menteri Pendidikan sejak daripada tahun 2019. Program ini telah mencipta dimensi baru kepada Universiti Awam (UA) untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui peningkatan nilai komersial dan penciptaan kekayaan.

Prof. Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin, Pengarah Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares) berkata, UM telah mendapat bantuan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu, untuk menyenaraikan nama-nama pelajar daripada senarai sekolah-sekolah Kelab Sahabat UM (jalinan sekolah angkat UM), yang layak menerima bantuan tersebut.

Menurut beliau juga, UMCares adalah salah sebuah pusat di Universiti Malaya yang bertanggungjawab terhadap aktiviti-aktiviti jalinan masyarakat di Universiti Malaya. Tumpuan UMCares adalah lebih kepada aktiviti-aktiviti yang melibatkan proses pemindahan ilmu daripada UM kepada komuniti setempat. Menurut beliau juga, aktiviti-aktiviti pemindahan ilmu ini akan lebih memberi impak dalam masa jangka panjang kepada komuniti. 

Highlights