Pada 22 Disember 2023, Jumaat lalu telah berlangsungnya Majlis Anugerah Perdana Siswa 2023 (MAPS) bertempat di The Pearl Hotel, Kuala Lumpur. Anugerah MAPS ini telah dipertandingkan kepada seluruh pelajar Ijazah Dasar yang banyak memberikan sumbangan terhadap universiti. Program ini dianjurkan adalah untuk menghargai usaha dan bakat pelajar dalam dasar pembangunan univerisiti dan negara. MAPS pada kali ini telah dihadiri oleh semua ketua dan presiden kelab yang aktif bergiat di dalam universiti.
Menerusi majlis tersebut, seramai dua pelajar dari Kelab UMCares iaitu Sharifah Zulaika dan Muhammad Akmal telah disenaraikan sebagai penerima Anugerah Perdana Siswa pada tahun ini. Antara anugerah yang telah dimenangi adalah Anugerah Kepimpinan Sukarelawan (Komuniti Sejahteraan) oleh Sharifah Zulaika binti Syed Abu Bakar dan Anugerah Kepimpinan Sukarelawan (Alam Sekitar) oleh Muhammad Akmal bin Ahmad Faizul. Kedua-dua pelajar tersebut merupakan pelajar aktif bersama UMCares dan mereka banyak menunjukkan sifat kepemimpinan dalam organisasi dengan baik. Menerusi anugerah yang dipertandingkan tersebut, terdapat program yang berimpak tinggi telah diperkenalkan oleh mereka, iaitu Generational EndGame (GEG) dan Asian Student Environmental Platform (ASEP). Kedua-dua program yang dilaksanakan pada sesi lepas ini banyak menerima maklum balas yang baik dari audiens yang terlibat terutamanya pelajar dan juga guru.
Salah seorang penerima anugerah, Sharifah Zulaika yang merupakan Presiden bagi Kelab UMCares sesi 2022/2023 telah meluahkan perasaan gembiranya selepas dinobatkan sebagai pemenang kerana baginya kejayaan yang dikecapi merupakan hasil kejayaan dan penat lelah ahli yang terlibat terutamanya Skuad UMCares dan pelatih GEG. Katanya, ini merupakan satu titik permulaan yang baik bagi Kelab UMCares untuk terus melaksanakan program berimpak tinggi dan memberikan lebih banyak sumbangan kepada universiti serta komuniti di luar sana. Kemenangan ini merupakan suatu kejayaan terbesar bagi Kelab UMCares selepas penubuhannya selama setahun. Diharapkan program seperti ini mampu memberikan pendedahan yang baik dan membuka minda lebih ramai pelajar di dalam Universiti terutamanya ahli Kelab UMCares. Program yang dianjurkan seperti ini mampu memberikan motivasi kepada mereka untuk menjadi lebih baik dan bersaing secara sihat untuk memperoleh kemenangan pada masa akan datang.