• Welcome to Universiti Malaya Community Engagement Centre (UMCares)
  • umcares@um.edu.my
  • 03-79677357
logo
logo

Pada era kini, penggunaan rokok tembakau dan e-rokok atau vape, mod, pod dan sebagainya dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Oleh yang demikian, sebuah kempen yang dikenali sebagai Generational End Game (GEG) atau Kempen Generasi Penamat telah dilaksanakan bagi melindungi individu-individu yang lahir pada 1 Januari 2022 dan seterusnya daripada terdedah kepada bahaya produk-produk merokok. Menjelang tahun 2040, Malaysia mempunyai sebuah visi iaitu mewujudkan masyarakat yang bebas daripada amalan merokok.

Sebagai usaha membanteras penggunaan rokok tembakau dan e-rokok dalam kalangan remaja, satu program Generational End Game (GEG) telah diadakan di Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur pada 13 Mac 2024. Program ini terletak di bawah projek H.E.B.A.T. iaitu “Henti! Elak! Basmi Asap Tembakau!” yang dianjurkan oleh Universiti Malaya menerusi Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares) Objektif program ini adalah untuk melatih para pelajar menjadi pelatih GEG dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi kefahaman dan kesedaran pelajar mengenai bahaya tembakau dan e-rokok, sekaligus dapat melahirkan generasi bebas asap rokok tembakau dan e-rokok di sekolah.

Program ini bukanlah bertujuan untuk menyampaikan ceramah berkenaan dengan bahaya merokok semata-mata, tetapi turut diadakan dengan menjalani pelbagai aktiviti secara berkumpulan bersama para pelajar seperti aktiviti burst hand, role-play, melukis, teka jawapan melalui perbuatan dan lain-lain. Tujuan aktiviti-aktiviti ini dijalankan adalah supaya para pelajar berasa seronok menyertai program ini dan mudah untuk menerima apa yang hendak disampaikan oleh pihak penganjur.

Natijahnya, program ini telah berjaya memberi pendedahan kepada para pelajar tentang bahan-bahan yang merbahaya yang terdapat di dalam produk rokok dan e-rokok dan kesan buruk akibat daripada amalan merokok dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan. Berharap program seperti ini dapat membantu Malaysia mencapai visi membebaskan masyarakat daripada asap tembakau menjelang tahun 2040.

Highlights