• Welcome to Universiti Malaya Community Engagement Centre (UMCares)
  • umcares@um.edu.my
  • 03-79677357
logo
logo

12 Januari 2024,Kuala Lumpur - Jumaat telah berlangsungnya Majlis UMCares Awards sesi 2023/2024 di Dewan Sri Tanjung, Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin (KK9), Universiti Malaya. Anugerah tahunan ini telah masuk ke siri yang kedua sejak pertama kali dianjurkan pada 23 Disember 2022 di Ruang Pameran, Kompleks Pengurusan, Penyelidikan dan Inovasi. Anugerah ini diwujudkan bagi menghargai dan sebagai  lambang apresiasi bagi aktiviti yang telah dianjurkan oleh Kelab UMCares Universiti Malaya dan UMCares. Pelbagai anugerah serta penghargaan telah diberikan kepada ahli-ahli yang menyumbang serta bergiat aktif dalam aktiviti yang telah diadakan sepanjang sesi 2022/2023. 

Majlis UMCares Awards telah diserikan dengan kesudian Yang Berusaha, Profesor Dr. Sabri Musa selaku tetamu kehormat dan perasmi majlis.  Bak kata Pengetua Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin, DSP/KS Mohd Hairolnezam Kahmis yang juga hadir sebagai tetamu kehormat, 'umpama sireh pulang ke gagang', kehadiran Yang Berusaha sangat dirai sebagai mantan Pengetua KK9. Pengarah dan Timbalan Pengarah UMCares, Profesor Madya Amer Siddiq dan Profesor Madya Amani juga dijemput sebagai tetamu kehormat majlis.

Tepat jam 3.30 petang, Majlis UMCares Awards dimulakan dengan perarakan masuk tetamu kehormat ke Dewan Sri Tanjung, disambut oleh 60 orang tetamu  jemputan serta sekitar 20 orang ahli jawatankuasa. Ucapan alu-aluan Presiden Kelab UMCares, saudara Adri Haikal bin Afezul menyusul setelah  nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa. Seterusnya, pengacara majlis menjemput perasmi, Yang Berusaha Profesor Dr. Sabri Musa, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) bagi memberi ucapan perasmian dan seterusnya melengkapkan perasmian majlis menerusi gimik yang telah disediakan.

Anugerah Penghargaan kepada Majlis tertinggi sesi 2022/2023
Penghargaan kepada peserta Asian Student Environmental Platfrom 2023


Menyusul setelah sesi perasmian adalah jemputan jamuan makan dan sesi Anugerah 1. Sesi ini menganugerahkan dua kategori iaitu ASEP Awards dan UMCares Club Awards. Dr Zul Ilham, penasihat program ASEP 2023 serta 10 orang peserta ASEP 2023 telah menerima sijil serta penghargaan dari  pihak penganjur ASEP, AEON Co., disampaikan oleh Pengetua Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin diiringi oleh Profesor Madya Dr Amani. Bagi UMCares  Club Award, saudari Sharifah Zulaikha, presiden Kelab UMCares Universiti Malaya dan saudara Akmal Faizul, timbalan presiden Kelab UMCares Universiti Malaya bagi sesi 2022/2023 diraikan atas kejayaan mereka merangkul Anugerah Kepimpinan Sukarelawan bagi kategori komuniti kesejahteraan dan alam sekitar pada  Majlis Anugerah Perdana Siswa 2023 yang dianjurkan pada 22 Disember lalu.

Sesi penyerahan tugas kepada Majlis Tertinggi sesi 2023/2024

Seterusnya, majlis disusuli dengan sesi penyerahan tugas, dimana saudari Sharifah Zulaikha dijemput bagi memberi ucapan sebelum meneruskan gimik menyerahkan tugas kepada saudara Adri Haikal, sebagai simbolik menyerahkan dan meneruskan legasi Kelab UMCares Universiti Malaya. Tayangan montaj aktiviti sesi 2022/2023 ditayangkan, sebelum sesi Anugerah 2 diteruskan. Yang Berusaha, Profesor Dr. Sabri Musa dijemput ke pentas, diiringi  Profesor Madya Amer Siddiq. Sesi Anugerah 2 menampilkan penghargaan kepada Majlis Tertinggi Kelab UMCares Universiti Malaya sesi 2022/2023. Bagi agenda terakhir majlis, saudari Aini Hizriena, timbalan Presiden Kelab UMCares Universiti Malaya sesi 2023/2024 bagi taklimat ringkas berkenaan  UMCares Squad Community Award dan  Eco-Challenge Award yang akan berlangsung pada sesi kali ini, sebelum hadiah Best Dress dan cabutan bertuah diberikan pada para pemenang. 

Majlis UMCares Awards ditamatkan dengan sesi bergambar sebelum majlis bersurai dengan keberangkatan pulang Yang Berusaha Profesor Dr Sabri Musa. Dengan itu, selesai sudah sebuah majlis tahunan bagi Kelab UMCares Universiti Malaya, meneruskan tradisi apresiasi dan penghargaan serta pencapaian mereka sepanjang bergelar ahli kelab. Diharapkan program ini dapat terus dikembangkan dan diteruskan bagi meningkatkan publisiti  serta prestij Kelab UMCares Universiti Malaya sambil terus melakar kejayaan dan menyantuni komuniti setempat.

Highlights